JERAWAT adalah sejenis
penyakit yang dianggap kronik di mana ia mengganggu kelenjar yang terdapat di
dalam lapisan kulit. Kelenjar-kelenjar ini mengeluarkan minyak atau sebum yang berfungsi
untuk meliputi kulit luar muka dan badan kita dan bertindak sebagai pelembap
semula jadi pada permukaan kulit manusia. Namun begitu, apabila liang roma pada
permukaan kulit anda tersumbat, ini akan membuatkan kulit muka, belakang dan
leher ditumbuhi jerawat.
Secara lebih terperinci,
jerawat membentuk apabila sebum, bakteria dan sel kulit mati tersangkut di
dalam liang roma kulit. Lapisan kulit mati pada tubuh kita juga akan digugurkan
(shedding) setiap hari dan boleh terperangkap dalam liang roma tersebut. Oleh
itu, mari saya terangkan beberapa punca yang boleh menyebabkan tumbuhnya
jerawat pada kulit muka, belakang badan dan juga kulit leher manusia.
Hormon dan Jerawat
Pada usia remaja, kelenjar
sebaceous mengembang dan mengeluarkan lebih banyak sebum di bawah pengaruh
hormon yang dikenali sebagai hormon androgen. Sebab itu ramai di kalangan
perempuan pada usia remaja dan awal dewasa kerap mengalami masalah jerawat.
Namun begitu, lama-kelamaan
liang sebaceous akan menghasilkan sebum yang semakin berkurangan berbanding
pada usia remaja.
Bakteria dan Jerawat
Bakteria yang dikenali dengan
nama Propionibacterium acnes pula adalah salah satu bakteria yang biasa
ditemui dalam sel kulit. Sumber makanannya ialah sebum dan sel-sel mati pada
permukaan kulit. Orang yang berjerawat mempunyai Propionibacterium acnes yang
lebih banyak berbanding dengan kulit orang yang tidak berjerawat.
Pemakanan dan Jerawat
Walaupun punca jerawat yang disebabkan
oleh diet atau pemakanan tidak dapat dibuktikan dengan jelas serta secara
terperinci, tetapi diet mempunyai kesan langsung terhadap tahap insulin dalam
badan kita. Untuk pengetahuan anda, insulin adalah hormon terpenting manusia
dan boleh mempengaruhi hormon-hormon lain di dalam tubuh termasuk hormon
androgen yang turut menjadi penyebab pertumbuhan jerawat pada kulit muka,
belakang dan leher pesakit.
Stress dan Jerawat
Stress boleh memburukkan lagi
simptom jerawat anda tetapi ia boleh dicegah dengan rawatan jerawat yang betul.
Tahap stress yang tinggi memang mampu memberi kesan ke atas jerawat dan boleh
menyebabkan radang jerawat yang teruk. Selain itu, apabila kita dalam keadaan
stress, adrenalin serta hormon androgen yang ada di dalam badan akan dikeluarkan
dengan berlebihan dan menjadi punca berlakunya pertumbuhan jerawat.
Alat Solek Dan Jerawat
Sebenarnya alat solek
bukanlah punca jerawat terbesar untuk kulit, tetapi jika anda tidak
membersihkan kulit anda dengan baik selepas memakai alat solek, ia boleh
memburukkan lagi keadaan jerawat pada kulit terutama muka anda.
Matahari Dan Jerawat
Cahaya matahari juga bukanlah
penyebab utama masalah jerawat tetapi haba yang dihasilkan oleh matahari boleh
menyebabkan kulit anda berpeluh dan berminyak sekaligus menyumbatkan liang
roma.
Pakaian Dan Jerawat
Tidak ramai yang mengalami
masalah ditumbuhi jerawat di belakang badan tetapi ia berlaku disebabkan oleh
jenis pakaian yang dipakai terutama dalam iklim tropika seperti di Malaysia.
Belakang badan mempunyai ribuan kelenjar dan liang roma yang boleh memerangkap
sebum. Jangan malas mandi kerana kulit yang bersih boleh membebaskan anda dari
belengu jerawat.
Sebenarnya ini adalah
sebahagian sahaja daripada punca-punca yang boleh menyebabkan kulit anda
ditumbuhi jerawat. Namun begitu, proses pertumbuhan jerawat adalah sangat
kompleks dan dikatakan boleh wujud daripada banyak punca.
KREDIT:http://www.drhasseenah.com/v1/index.php/artikel/2-punca-punca-terjadinya-jerawat
No comments:
Post a Comment